SITI Kharina gagal dikesan sejak Rabu lalu. FOTO Ihsan Pembaca.
Noor Atiqah Sulaiman


KELUARGA ketua jururawat Hospital Serdang yang hilang sejak seminggu lalu, meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, sudah ditemui.

Adiknya, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, berkata, masih ramai menghubunginya bertanyakan sama ada benar kakaknya itu sudah ditemui, sedangkan mereka tiada maklumat mengenainya.

“Setakat ini tiada orang awam yang menghubungi dan memberi maklumat di mana kakak saya berada.

“Cuma ada beberapa individu menghubungi, bertanya sama ada betul ke kakak sudah ditemui seperti disebarkan di media sosial.

“Saya harap mereka henti sebarkan maklumat palsu berkenaan, (kerana) kakak saya belum ditemui. Jika ada nampak dia di mana-mana, boleh hubungi saya di talian 012- 2587764,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Siti Khairani berkata, ahli keluarganya masih membuat carian di beberapa lokasi yang dikatakan mungkin dikunjungi Siti Kharina.

“Antara tempat yang kami cari ialah di Seri Kembangan, Nilai, Cyberjaya dan Serdang. Selain itu kami berulang-alik ke Kuala Pilah dan melihat kawasan di sekitarnya,” katanya.

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada Rabu minggu lalu.

Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dan kehilangannyahanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya disebabkan wanita itu tidak melapor diri untuk bertugas di tempat kerja.

Berita berkaitan

'Bantu kami kesan kakak'

'Masih tiada khabar dari Siti Kharina'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 3:13 PM