Salahuddin merasmikan kempen 'Berbuka dan Bersahur Dengan Harumanis' pada majlis iftar kementeriannya hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Salahuddin merasmikan kempen 'Berbuka dan Bersahur Dengan Harumanis' pada majlis iftar kementeriannya hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan pengambilan mangga paling premium iaitu harumanis sebagai menu ketika berbuka dan bersahur.

Menterinya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga usaha membantu petani harumanis serta selaras dengan slogan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tahun ini, ‘Berbuka dan Bersahur dengan Harumanis’.

Menurutnya, ketika lawatan ke Perlis Mac lalu, beliau turut meminta FAMA melaksanakan usaha menubuhkan jawatankuasa khas untuk memastikan pemasaran harumanis lebih terjamin.

“Saya gembira apabila diberitahu FAMA membeli harumanis di ladang iaitu gred A dengan harga RM21 dan saya rasa ia dapat memuaskan hati sebahagian besar pengusaha harumanis.

“Saya juga diberitahu kali ini kita bersedia dengan industri hiliran iaitu produk penghasilan harumanis seperti minuman dan kordial bagi memastikan petani dapat menikmati harga munasabah setiap kali penghasilan buah ini,” katanya pada majlis ‘Seharum Kasih, Semanis Ramadan’ bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya hari ini.

Di samping itu, Salahuddin berkata, beliau juga memberi arahan kepada agensi di bawah kementeriannya untuk turut menghidangkan harumanis pada majlis berbuka atau sahur.

“Di Kabinet pun saya sudah nyatakan, jika boleh jamuan kerajaan sepanjang Ramadan turut dibekalkan menu harumanis sebagai contoh pulut dengan harumanis sama ada waktu buka, moreh atau sahur,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan dengan adanya produk daripada harumanis, beliau berkata, setakat ini ia mendapat permintaan yang baik.

“Saya diberitahu tidak sukar untuk menembusi pasaran seperti Jepun dan negara lain cuma kadang-kadang kita tidak cukup dari segi bekalan.

“Jadi pada masa akan datang dengan teknologi baharu, kita punya masa depan cerah mengenai industri penanaman harumanis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 8:26 PM