PELBAGAI jenis senjata dan dadah dirampas daripada Geng Jibam Makam yang dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menumpaskan sindiket curi kenderaan ‘Jibam Makam’ berikutan penahanan enam individu termasuk seorang wanita warga tempatan dalam serbuan di sebuah premis bengkel kenderaan di Kampung Makam, Kota Tinggi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata penahanan semua suspek berusia 23 hingga 53 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari unit Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 11 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, kumpulan dikenali sebagai Jibam Makam itu menggunakan modus operandi dengan mencuri kereta yang tidak dipasang kunci tambahan.

“Mereka meleraikan komponen kereta untuk dijual, selain rangka kereta dipotong serta dilupuskan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, pasukan serbuan menemui tiga kereta iaitu Proton Saga, Iswara dan Satria disyaki kenderaan dicuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu laras senjata api ‘pump gun’ bersama empat butir peluru penabur, lima butir kelongsong peluru 0.38 milimeter, selain dua paket kecil plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki heroin dengan anggaran 72.2 gram (g) serta syabu dengan anggaran 3.2g dirampas.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah.

Katanya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 19 Mei depan.

“Kami percaya susulan penahanan sindiket curi kereta itu, polis dapat menyelesaikan 15 kes kecurian kenderaan di daerah Kota Tinggi.

“Secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu lapan kesalahan jenayah dan 11 kesalahan jenayah narkotik.

Katanya, semakan rekod hilang terhadap tiga kenderaan berkenaan mendapati dua daripadanya masih dilaporkan hilang bersabit laporan Kota Tinggi RPT/4937 dan 4962/2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:35 PM