Pemandu tersepit selepas keretanya terbabit kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433.3 Lebuh Raya Utara Selatan di Hulu Selangor hari ini.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa parah di bahagian kepala manakala dua lagi pemandu kenderaan yang terbabit tidak cedera.

Difahamkan, dua kenderaan lain yang terbabit dalam kejadian itu iaitu sebuah lori simen dan bas milik Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki Proton Wira dari arah selatan menuju ke utara.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan sebelum dilanggar lori membawa muatan simen dari arah belakang di lorong kiri jalan.

“Akibat perlanggaran itu, kenderaan mangsa berpusing masuk ke lorong tengah jalan sebelum dilanggar oleh bas yang membawa 38 penumpang dari arah belakang.

“Susulan itu, mangsa tersepit dalam kenderaan dan parah pada bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya hari ini.

Bak Phai berkata, semua 38 penumpang dalam bas sudah beredar dari lokasi dan tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 12:48 AM