DUA pemburu haram warga Vietnam yang diberkas pihak PERHILITAN di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu 15 April lalu. Foto ihsan PERHILITAN.
Zatul Iffah Zolkiply


Tindakan dua pemburu haram warga Vietnam memburu serta menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.56 juta setiap seorang di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, Terengganu.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Hoang Van Viet, 29 dan Nguyen Van Thiet, 26, turut berdepan hukuman penjara 16 tahun lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas dua tertuduh mengaku salah terhadap 20 pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memiliki jerat, Seksyen 68(2)(c), Seksyen 68(1)(b) dan Seksyen 60(1)(b) akta sama kerana menyimpan hidupan liar dilindungi sepenuhnya iaitu kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, tapir, beruang matahari, kucing tulap dan babi hutan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menggunakan 22 jerat dan menyimpan pelbagai organ serta bahagian haiwan seperti hempedu kambing gurun, kuku harimau kumbang, taring harimau dahan, kuku harimau dahan, taring dan tulang tapir, kuku dan hempedu beruang matahari, kuku dan taring kucing tulap.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu, jam 6.45 pagi pada 15 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia,

Mohd Khairul Mubin Ab Satar, Abd Aziz Mohd Yasin dan Khadijah Mat Amin.

Sebelum ini, PERHILITAN menumpaskan sindiket pemburuan haram dengan penangkapan dua warga Vietnam di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu membabitkan nilai rampasan kira-kira RM600,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 4:33 PM