FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TEKONG Vietnam didenda RM300,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Tertuduh, Huynh Van Hue, 28, turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dihukum mengikut Seksyen 25(a) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan kapal, peralatan komunikasi, navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan amaun ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 141 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada 4.05 petang, 25 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:18 PM