Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PENIAGA dan pengunjung bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan teruja sebaik melihat keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah mengunjung bazar berkenaan hari ini.

Baginda tiba 6.50 petang ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya meninjau bazar berkenaan dan membeli beberapa juadah untuk berbuka puasa antaranya air katira, sata, puding raja, pulut panggang dan pelbagai jenis kek.

Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) yang terletak bersebelahan bazar itu, ia adalah acara tradisi tahunan pasangan diraja setiap Ramadan.

Sementara itu, peniaga sata Safiuddin Omar, 27, mengakui terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan membeli sata dan pulut panggang yang dijualnya.

“Saya pada mulanya tergamam melihat Tuanku berada di depan gerai saya, ini kali pertama saya menerima pelanggan diraja sejak tiga tahun berniaga di sini.


Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah meninjau jualan bazar Ramadan Jalan Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang

“Saya berbesar hati kerana sata yang juga resipi keluarga saya menjadi sebahagian daripada juadah berbuka Tuanku berdua hari ini,” katanya.

Peniaga kek, Mohd Rosdi Dol, 41, berkata, dia sememangnya mengetahui Al-Sultan Abdullah akan berangkat mengunjungi bazar berkenaan namun tidak menyangka gerainya menjadi tempat persinggahan pertama baginda.

“Baginda bertanya kek mana yang sering menjadi pilihan pelanggan dan saya memberitahunya kek durian cheese, tiramisu, pandan layer dan peanut butter.

“Baginda kemudiannya meminta saya membungkuskan empat jenis kek itu...ini pengalaman paling bermakna sepanjang lima tahun berniaga di sini,” katanya.

Peniaga air, Khairul Afendi Mohamed, 31, berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan membeli air katira, air kelapa, teh susu dan jus durian belanda di gerainya.

“Baginda juga ramah...sempat bertanya khabar dan ingin tahu bagaimana perniagaan kali ini sementara menanti saya membungkus air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 8:44 PM