ORANG ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa di Taman Syahbandar yang berlatar belakangkan jambatan drawbridge iaitu mercu tanda baharu bandar Kuala Terengganu. FOTO: Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


KUALA TERENGGANU: “Saya memang teringin sangat merasa suasana berbuka (puasa) di sini, dengan pemandangan jambatan ‘drawbridge’.

“Ternyata tak sia-sia saya datang dari Besut sejauh lebih 100 kilometer (km) bila dapat menyaksikan dan merasai sendiri suasana iftar di sini,” kata Busyairi Rahman, 23, dari Kampung Padang Baloh, Besut.

Busyairi ditemui ketika sedang menanti waktu berbuka puasa di dataran Taman Syahbandar di sini, kelmarin.

Kawasan di pinggir Sungai Terengganu itu menjadi tumpuan penduduk Terengganu sejak kebelakangan ini berikutan pemandangan menarik berlatarbelakangkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’.

“Bila dapat tahu tempat ini dikunjungi orang, saya hubungi dua rakan baik yang tinggal di Kuala Terengganu dan selepas berbincang kami bersetuju berbuka puasa bersama-sama,” kata Busyairi yang datang bersama dua rakan, Mohd Imran Hakimi Ramlan dan Tengku Mohammad Amiruddin Ihsan Tengku Yunus, masing-masing berusia 24 tahun.


PENGUNJUNG datang 100km iftar berlatar belakangkan jambatan drawbridge.

Bagi penuntut kolej, Nor Syafiqah Ramli, 20, pengalaman berbuka puasa di kawasan itu sangat mengujakan.

“Tak sangka di Terengganu ada kawasan menarik seperti ini, boleh dijadikan tempat pelancongan baharu pula.

“Seronok sangat bila sampai, ternyata kawasan ini lebih comel (menarik) berbanding dalam gambar yang tular di media sosial,” katanya yang datang bersama lima rakan sekolej.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:20 AM