MANGSA diperdaya suspek menyamar sebagai polis sebelum melakukan transaksi wang. Foto gambar hiasan.
Shahrinnahar Latib


Terpedaya dengan panggilan seorang ‘pegawai perundangan’, pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Pekan, Pahang, menanggung kerugian kira-kira RM132,000.

Pensyarah wanita berusia 60 tahun itu dikatakan diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai perundangan daripada Mahkamah Majistret Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mendapat panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Puan Hazlinda mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM13,580.

“Mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit. Namun, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Mohd Yusuf dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Hasil semakan ‘Inspektor’ itu, akaun bank mangsa dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan kesalahan akta dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang takut dikenakan tindakan undang-undang, terpaksa mengikuti segala arahan lelaki itu untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Mangsa diminta untuk membuat pindahan wang berjumlah RM132,000 daripada akaunnya ke empat akaun lain yang diberikan atas alasan mahu menyemak kesahihan wang itu.

“Namun, selepas pindahan wang dilakukan, mangsa gagal menghubungi semula lelaki itu dan tersedar dia sudah ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:18 PM