MANGSA maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming


OPERATOR kilang maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori satu tan di Kilometer 8 Jalan Kunak-Lahad Datu, Kunak, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mohammad Aiman Amiruddin, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah kedua-dua bahagian paha selain mengalami kecederaan dalaman.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Lahad Datu menuju ke pekan Kunak manakala lori yang dipandu lelaki berusia 77 tahun itu dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, sejurus tiba di lokasi, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain namun gagal sebelum melanggar lori dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Merpati, Ladang Mostyn terseret sejauh 14 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata, pemandu lori yang turut mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tangan kanan di bawa ke di Hospital Kunak sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 11:28 AM