HASANUDDIN (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di hotel di Kampung Gaung, Pasir Mas. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS menahan empat lelaki termasuk dua beradik dan merampas dadah syabu dan pil yaba bernilai anggaran RM232,500 di hotel di Kampung Gaung, Pasir Mas, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, empat lelaki berusia antara 30 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan pada 3 pagi.

Katanya, serbuan dijalankan oleh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Katanya, hasil risikan polis menyerbu bilik hotel dan mendapati empat lelaki berkenaan berada di dalam bilik itu.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui beg hitam yang mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 1.65 kilogram dan satu bungkusan kertas berisi paket plastik yang mengandungi 6,000 biji pil yaba dengan nilai keseluruhan RM232,500.

“Kita menahan empat lelaki terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga menyita sebuah motosikal berkuasa tinggi bernilai RM60,000; tiga motosikal dengan nilai RM10,500; wang tunai RM1050; satu set pembesar dan satu televisyen yang nilai keseluruhan RM75,500,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 3:21 PM