Siti Nor Hidayatidayu Razali


“SAYA minta tolong sedekah al-Fatihah kepada mami saya,” kata Iqbar Hakim Jasman, 20, anak sulung pengasas produk kecantikan Dnars, Faziani Rohban Ahmad.

Faziani, 40, meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaiki kemalangan di Pattani, Thailand, pagi hari ini, manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, cedera.

Iqbar Hakim menerusi akaun Instagramnya meluahkan kesedihan atas kehilangan mengejut itu dan memberitahu dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Paloh, Tumpat.

Dia juga meminta kepada semua pengikutnya supaya mendoakan agar ibu kesayangannya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Saya mewakili arwah mami meminta ampun andai ada salah silap (beliau) dan boleh tuntut hutang jika ada.

“Ini ujian berat untuk saya tetapi saya perlu kuat untuk adik-adik saya, ada tujuh orang,” katanya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Katanya, ibunya kemalangan ketika dalam perjalanan untuk membayar zakat di sebuah pondok di Pattani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 5:30 PM
LUAHAN Iqbar Hakim di Instagram. FOTO Ihsan IG Iqbar.