Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA rasa seronok dan puas,” kata Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Mohd Amri Rusli, 36, selepas melakukan lafaz akad fitrah dibantu penterjemah di Masjid Tuanku Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, semalam.

Mohd Amri yang juga Pengasas #SignOn berkata, sebelum ini, dia hanya baca akad dalam hati dan akui tidak puas dengan hanya membaca dalam hati sahaja.

“Dengan adanya program ini dan adanya perterjemah, ia membantu orang pekak untuk melafazkan niat membayar zakat,” katanya.

Semalam, Mohd Amri bersama tiga OKU pendengaran lain menunaikan zakat fitrah di hadapan amil di kaunter ‘drive thru’ zakat fitrah MTMZA dengan dibantu penterjemah bahasa isyarat, Mohamad Zaid Hamdan, 36, dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Program Jom Bayar Zakat Fitrah Khas Untuk Orang Pekak itu dianjurkan oleh #SignOn iaitu program untuk masyarakat mempelajari bahasa isyarat.

Ia turut mendapat sokongan Kelas Kemahiran Komunikasi Tanpa Suara, MTMZA dan Kelab Komuniti Prihatin.


MOHD Amri (kiri) membayar zakat fitrah menggunakan bahasa isyarat kepada amil zakat, Mohd Khairul Ridhuan Mohd Fadzil (kanan) dengan dibantu Mohamad Zaid (dua dari kanan) di Kaunter Zakat Fitrah MTMZA, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Mohd Amri berkata, dia berharap program terbabit dapat diteruskan pada tahun depan di seluruh negara sekali gus membantu memudahkan orang pekak membayar zakat.

Sementara itu, Mohamad Zaid berkata, dia merancang memohon menjadi amil tahun depan bagi memudahkan OKU pendengaran membayar zakat.

“Saya terdetik untuk menyertai program ini kerana mahu memudahkan golongan itu berkomunikasi khususnya dalam melafaz niat zakat fitrah,” katanya yang sudah menjadi tenaga pengajar bahasa isyarat di ILIM sejak tujuh tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 1:58 PM