Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.mu


GARA-gara ingin menghalau kera di kebun menggunakan mercun bola, seorang lelaki cedera parah di tangan kirinya apabila mercun itu meletup ketika berada di dalam genggamannya di Kampung Changhai, Sik, semalam.

Mangsa, Omar Mohd Akhir, 34, yang mengambil upah menjaga kebun sejak setahun yang lalu dikatakan keluar tidak lama selepas waktu berbuka puasa untuk ke kebun terbabit.

Menurut adik mangsa, Siti Noor Fatihah, 20, abangnya dikatakan keluar berseorangan menunggang motosikal dengan membawa beberapa biji mercun bola.

“Abang menunggang motosikal sambil memegang mercun bola untuk menghalau kera di kebun.

“Waktu kejadian dia dikatakan menunggang motosikal sambil tangan kirinya memegang mercun bola dan sebatang rokok yang sedang menyala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fatihah berkata, mercun berkenaan dikatakan terkena api nyalaan rokok sebelum meletup di tangan mangsa.

“Mungkin abang pegang empat biji mercun bola, sebab orang kampung mendengar bunyi empat das letupan mercun pada waktu itu,” katanya.

Katanya, penduduk kampung yang mendengar jeritan mangsa segera memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke Hospital Sik bagi menerima rawatan.

Fatihah berkata, abangnya kini dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu semalam.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan serius pada tangan kiri yang mana jari manis dan jari kelingking parah.

“Pihak Hospital Sik turut mendapatkan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menanggalkan cincin dari jari manis mangsa.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan terbakar pada dada mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, tiada laporan polis diterima pihaknya setakat ini berkaitan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:10 PM