NOR Zamri (gambar kecil) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori di Kilometer 2, Jalan Felda Kemelah-Tenang, Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


“ARWAH anak, Nor Zamri Jonlaili, 22, memaklumkan tidak akan pulang berhari raya seolah-olah tahu akan meninggalkan kami sekeluarga,” kata Tosira Kamdan, 57, ibu kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 2, Jalan Felda Kemelah-Tenang, Segamat, hari ini.

Tosira berkata, sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan pada 11 pagi hari ini, anaknya sempat meluangkan masa selama tiga hari di rumah mereka di Felda Selancar.

“Sebelum arwah meninggalkan rumah, dia ada cakap tidak sedap hati dan meminta maaf kepada saya dan semua adik beradik kerana belum sempat membelikan baju raya, namun akan menunaikannya dalam masa terdekat.

“Arwah amat mengambil berat kebajikan keluarga dan akan menyeduk hidangan bersahur serta berbuka puasa kepada semua ahli keluarga barulah dia sendiri menjamah makanan.

“Nor Zamri anak bongsu dan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik berusia 31, 30 dan 29 tahun.

“Kami benar-benar terasa kehilangannya kerana tiada lagi cahaya dalam keluarga kami apabila tiba hari lebaran tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Segamat, hari ini.

Menurutnya, ketika bercuti hari ini arwah lebih banyak mendiamkan diri dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur, menyatakan mahu singgah ke rumah teman wanitanya di Felda Kemelah.

Katanya, sebelum ini arwah sering bercerita teruja akan memiliki motosikal baharu yang ditempahnya dan berjanji akan membonceng semua ahli keluarganya kelak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada 1.38 tengah hari apabila Nor Zamri yang menunggang motosikal Honda RS 150 hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan berlanggar sebuah lori tanpa muatan di tempat kejadian.

“Mangsa parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori lelaki berusia 30-an tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Segamat dan kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 10:29 PM