Lim Chee Khoon (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada dua lelaki yang menyamun pekerja kilang warga Nepal. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


PADAH menyamun pekerja kilang warga Nepal, dua lelaki dicekup polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan jenayah itu kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, dua mangsa yang menaiki basikal didatangi lelaki bermotosikal di Tali Air 5, Sekinchan, 8 malam Jumaat lalu.

“Dua suspek berusia 17 dan 20 tahun itu kemudian menahan mangsa dan mengambil dompet mengandungi Kad Pekerja Asing Sementara (I-Kad), kad bank dan wang tunai RM60.

“Suspek turut mengacukan pisau pemotong daging ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa kemudian membuat laporan mengenai kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.

Chee Khoon berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek di Jalan Bagan Sungai Labu di sini, 2.30 petang kelmarin.

“Kita turut menemui barangan milik mangsa yang disamun, pisau dan motosikal yang digunakan suspek,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah.

“Mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 3:00 PM