Mohd Hilmie Hussin


ADIK Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, sembilan bulan, yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ akan berlepas ke London selewat-lewatnya Jumaat ini.

Ia disahkan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, selepas semua persiapan untuk berlepas ke negara terbabit sudah sedia dan hanya menunggu tiket syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

“MAS juga sudah bersedia untuk membawa kami, cuma tinggal prosedur mendapatkan tiket saja iaitu menunggu kekosongan malah dua doktor pengiring juga sudah bersedia mengikut kami ke sana,” katanya ditemui di kediamannya di Taman Ayer Molek, Melaka hari ini.

Menurutnya, dua doktor pengiring yang bersama-sama mereka ke London adalah doktor pakar bius dari hospital swasta yang sukarela menggunakan perbelanjaan sendiri.

Katanya, Doktor Amalina Che Bakri juga mengesahkan ada doktor menunggu mereka setibanya di lapangan terbang di sana.

Begitupun dia enggan mendedahkan nama hospital yang bakal merawat Ainul Mardhiah.

Katanya, semua kos pengangkutan dia dan anaknya ke London adalah hasil sumbangan orang ramai dan dia dan isteri Nurul Erwani Zaidi, 24, berterima kasih kepada pihak yang menyumbang.

Ahmad Safiuddin berkata, mereka diberitahu membawa Ainul Mardhiah ke London juga satu risiko namun dia dan isteri tetap menaruh harapan untuk melihat anak sulung mereka pulih.

“Saya diberitahu, untuk menaiki penerbangan pun sudah cukup berisiko, jadi saya mengharapkan doa orang ramai mohon Allah SWT permudahkan urusan Ainul dan memberi kesembuhan.


Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersama Ainul Mardhiah akan berlepas ke London minggu ini. FOTO Khairunisah Lokman

“Saya tahu harapan yang ada agak tipis, menjalani pembedahan juga berisiko.

“Begitupun, nasib Ainul Mardhiah belum dapat dipastikan sama ada dapat menjalani pembedahan atau sebaliknya, kerana doktor minta dia menjalani pengimejan resonans magnet (MRI) di sana kerana ujian yang dilakukan di sini tidak jelas,” katanya.

Ketika berkunjung ke rumahnya hari ini, pasangan terbabit sibuk menguruskan Ainul Mardhiah dan mengambil masa kira-kira sejam untuk menukar alat ‘racheotomy’ yang dipasang pada leher bayi itu bagi tujuan pernafasan.

Sementara itu, Nurul Erwani berkata, biarpun ketumbuhan semakin membesar sejak menjalani proses terapi kimo ketika berusia tiga bulan, namun Ainul Mardhiah semakin mudah diuruskan dan tidak banyak merengek.

“Alhamdulillah, Ainul hanya menangis dan merengek apabila laparkan susu dan buang air. Kami tidak lagi perlu berjaga malam kerana Ainul sudah dapat tidur sekarang,” katanya.

Katanya, sebagai ibu, dia hanya mampu berdoa meminta Allah SWT mendorongkan jalan yang betul untuk anaknya selain menggerakkan hati doktor yang mengendalikan kes anaknya itu diberikan laluan mudah.

“Saya teringin melihat Ainul kembali aktif kerana sebelum terapi kimo, dia (Ainul Mardhiah) sudah dapat terbalikkan badan daripada baring kepada meniarap, tapi sekarang tidak lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 3:48 PM