Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


DUA lelaki termasuk pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan menyebabkan tiga maut di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, Bagan Serai, semalam.

Penahanan kedua-dua suspek itu bagi membantu siasatan selepas mendapati semua mangsa warga Myanmar yang terbabit dalam kemalangan meragut tiga nyawa itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

Kemalangan pada 7.30 pagi itu mengakibatkan tiga maut dan 11 cedera termasuk tujuh parah selepas SUV berkenaan terbabas menyebabkan empat mangsa tercampak ke bawah jejambat lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kedua-dua suspek itu ditahan secara berasingan di dua lokasi iaitu di Taman Pelangi dan Kampung Baru Sungai Siput, Kampar, antara 4.30 hingga 5.30 petang semalam.

Menurutnya, mereka yang ditahan itu adalah pemilik SUV berusia 56 tahun serta seorang warga Myanmar berusia 30-an dan kedua-dua mereka direman bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal terhadap pemilik kenderaan yang juga warga tempatan itu mendapati SUV miliknya itu didakwa diserahkan kepada seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Ah Hong kira-kira dua tahun lalu.

“Seorang lagi suspek ditahan pula dipercayai menjadi orang tengah dalam urusan jualan SUV itu.


OMAR Bakhtiar (kanan) pada sidang media di IPD Kerian, hari ini susulan penahanan dua lelaki termasuk pemilik SUV Nissan X-Trail yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.

“Polis percaya lelaki warga Myanmar bernama Ah Hong itu adalah salah seorang daripada pemandu atau penumpang SUV yang melarikan diri selepas berlakunya kemalangan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, berdasarkan soal siasat dengan empat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, mereka mendakwa berada di satu lokasi tidak dikenal pasti di sempadan Thailand sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan.

Beliau berkata, mereka berada di sempadan Thailand selama dua hari sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan tidak diketahui dan diambil SUV berkenaan di lokasi tidak dikenal pasti.

“Siasatan masih dijalankan namun menghadapi sedikit kesukaran disebabkan semua mangsa tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris memandangkan baru dibawa masuk ke negara ini.

“Justeru, pihak polis perlu mendapatkan bantuan jurubahasa dan setakat ini mayat tiga mangsa yang maut dalam kemalangan masih belum dituntut pihak Kedutaan Myanmar,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, seorang daripada tujuh mangsa mangsa yang parah kini berada dalam keadaan koma dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Pengeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita berkaitan

'Mesti cari sampai dapat... [METROTV]'

'[UPDATE] Berhimpit macam sardin'

'Tiga maut, 11 cedera SUV terbabas'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:31 PM