PENIAGA beras, Mohd Norazim Abd Razak,33, menyusun beras yang dijualnya di sebuah lot kedai di Jitra. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


MENJALANKAN perniagaan tanpa memikirkan keuntungan yang tinggi, sebaliknya untuk mendapat keberkatan.

Itu inisiatif yang diambil oleh peniaga beras di Jitra apabila dia menjual makanan ruji itu dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Peniaga, Mohd Norazim Abd Razak, 33, berkata, dia merealisasikan niatnya itu pada September tahun lalu selepas mendapat lesen daripada Kawalselia Padi Dan Beras Negeri Kedah serta bekalan daripada PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS).

Katanya, dengan bantuan pemasaran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dia kini membuka kedai di Jalai Kolej Heights Utara Darul Aman di Jitra agar pengguna boleh terus membeli beras di situ.

“Sasaran pelanggan saya adalah masyarakat luar bandar yang bekerja kampung seperti pesawah dan penoreh getah, saya hanya menjual beras 10 kilogram (kg) dengan harga RM22 berbanding harga pasaran RM26.

“Walaupun keuntungan yang saya perolehi sedikit, tetapi saya puas apabila dapat melihat golongan kurang berkemampuan datang membeli di sini, dengan cara inilah saya dapat berkongsi rezeki kepada orang miskin,” katanya.

Mohd Norazim berkata, pada mulanya dia hanya mampu menjual sekitar lima tan beras dalam tempoh sebulan, namun selepas tiga bulan menjalankan perniagaan, jualannya kini sudah mencecah antara 20 hingga 30 tan sebulan.

Katanya, dia kini sudah membuka sebuah cawangan di Kuala Nerang bagi memastikan jualan beras itu sampai kepada golongan sasar.

“Tujuan saya berniaga bukanlah untuk memberi persaingan kepada peniaga beras yang lain, saya mempunyai golongan sasar saya sendiri, kerana itulah saya berniaga di kawasan luar bandar sahaja.

“Pada tahun ini saya sasarkan untuk membuka enam lagi cawangan di daerah luar bandar, malah peruncit juga boleh mendapatkan beras daripada saya tetapi mereka juga perlu ingat tujuan asal perniagaan saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jualan semasa Ramadan, Mohd Norazim mengakui jualannya agak merosot pada minggu pertama berpuasa, namun ia kembali meningkat apabila orang perseorangan dan syarikat swasta membeli beras di situ bagi tujuan zakat fitrah dan memberi sumbangan.

Katanya, dia sangat berharap lebih ramai peniaga dapat melakukan perkara yang sama bagi membantu golongan miskin selain mengejar ganjaran akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:19 AM