RAKAMAN yang tular sejak Sabtu lalu sehingga mengundang kemarahan orang ramai. FOTO ihsan pembaca
Yusmizal Dolah Aling


PELBAGAI versi diterima Persatuan Haiwan Malaysia mengenai kejadian seorang lelaki menembak monyet seperti yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Namun sehingga kini, tiada siapa yang dapat memberikan bukti berserta laporan polis berhubung kejadian walaupun tawaran ganjaran RM2,000 diberikan kepada individu yang mempunyai maklumat sehingga tertangkapnya pelaku terbabit.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, rata-rata netizen tampil memberi maklum balas bahawa kes terbabit berlaku di luar negara dan video yang dirakam dialihbahasakan kepada bahasa Melayu untuk menarik perhatian ramai dengan perkataan ‘Baby sayang’.

Katanya, antara maklum balas lain termasuklah jenis pistol digunakan adalah selalu digunakan polis atau tentera dan kemungkinan haiwan berkenaan ditembak untuk dimakan seperti yang sering dilakukan ketika latihan ikhtiar hidup pasukan keselamatan.

“Pada Isnin, pengendali laman Facebook (FB) persatuan memuat naik tawaran RM2,000 kepada mereka yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu yang menembak beruk berkenaan.

“Walaupun atas apa alasan sekali pun, kita melihat daripada dua keadaan, pertama tindakan kejam ke atas binatang dan yang keduanya bagaimana tergamak kejadian itu dirakam untuk paparan umum seperti yang tular. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Lelaki berkenaan menyuruh monyet berkenaan memanggilnya ‘Baby sayang’ sebelum menembak haiwan itu selepas kiraan tiga, malah sempat menunjukkan kesan darah di situ.

Arie berkata, video berkenaan memberikan kesan psikologi yang tidak baik kepada masyarakat khususnya kanak-kanak dan ia tertanam di dalam minda mereka yang melihat rakaman itu.

“Sebab itu kita mahu pelaku itu dikenakan hukuman kerana ia boleh membentuk emosi untuk membunuh. Sebelum ini ada kejadian bunuh yang berpunca daripada pembunuhan haiwan dan kita tidak boleh biarkan ini menular.

“Membunuh ini disebabkan kemahuan dan ikutan. Apa yang berlaku dalam kes ini, ia boleh menjadi ikutan kepada yang lain jika tidak dibendung. Ada yang mengeji dan ada yang menganggap sebagai hiburan, ini bahaya dan satu bentuk penderaan kepada haiwan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:30 PM