Junaidi Ladjana


REMAJA perempuan berusia 16 tahun dicabul seorang lelaki di dalam tandas rumahnya di sebuah kampung di Pulau Gaya dekat Kota Kinabalu, kelmarin.

Suspek mencabul dengan menghulurkan tangannya melalui bawah lubang tandas lalu memegang alat sulit mangsa.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa dikatakan baru selesai sahur dan ke tandas yang diperbuat daripada kayu yang dilubangkan (tidak mempunyai mangkuk tandas).

Mangsa terasa alat sulitnya disentuh dan terkejut apabila melihat tangan dari bawah lubang tandas.

Dia menjerit dan sempat melihat wajah suspek di bawah rumah.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis jam 9 pagi di Balai Polis Pulau Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menjejaki dan menahan suspek.

“Sejam selepas laporan itu diterima, anggota Balai Polis Pulau Gaya berjaya menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 31 tahun itu positif dadah dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 8:21 PM