TAN (tiga dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Bazar Ramadan Taman Ria. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


HAMPIR dua tan makanan dan minuman diselamatkan melalui Program MySaveFood sempena Ramadan yang dijalankan di Bazar Ramadan Taman Ria, Sungai Petani, sejak 12 Mei sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, projek kali pertama di negeri ini turut membabitkan lapan lokasi lain di seluruh negara dijalankan selama 14 hari sehingga 25 Mei ini.

“Projek membabitkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Persatuan Pemuda Malaysia (GEMA) ini sebenarnya sudah bermula sejak 2016.

“Pada tahun ini, ia diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Kedah dan kita memilih Bazar Ramadan Taman Ria sebagai projek perintis dalam usaha menyelamatkan makanan yang tidak terjual,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran MySaveFood Ramadan 2019, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SWCorp negeri, Zaidi Tuah.

Beliau berkata, makanan yang diselamatkan disalurkan kepada lebih 500 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah yang kurang berkemampuan.

“Makanan tidak terjual yang masih baik itu akan dikumpulkan selepas waktu berbuka puasa dan ditimbang jumlah makanan yang diselamatkan sebelum dibungkus untuk disalurkan kepada penerima,” katanya.

Beliau berharap program MySaveFood dapat menjadi kesedaran pendidikan kepada pengusaha makanan dan minuman supaya dapat merancang jualan sekali gus dapat mengurangkan pembaziran terutama sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, katanya, dalam tempoh sama, SWCorp turut menjalankan projek ‘Free Market’ di tujuh bazar terpilih seperti daerah Kuala Muda, Alor Setar, Sik, Langkawi dan Kulim.

“Orang ramai boleh menyalurkan barangan seperti pakaian, permainan kanak-kanak, kelengkapan rumah yang masih elok tetapi sudah tidak digunakan di lokasi yang kita sediakan.

“Mereka yang memerlukan boleh mengambil apa saja di situ secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 9:47 PM