ANGGOTA bomba membantu pemilik sebuah kereta yang tenggelam di tempat letak kereta Menara PJD, Jalan Tun Razak. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Azam Shah Yaacob


HUJAN lebat melanda ibu negara selama dua jam, hari ini menyebabkan dua kawasan ditenggelami air.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga kereta yang diparkir di kawasan letak kereta Menara PJD, Jalan Tun Razak tenggelam, hampir satu meter.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan banjir kilat itu sekitar 6 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dikerah ke Jalan Tun Razak bagi meninjau keadaan.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Titiwangsa pula dikerah ke Kampung Kovil Hilir selepas menerima panggilan sama pada 6.15 petang.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan di dua-dua kawasan mahupun kerosakan harta benda.

“Sebaliknya pemantauan anggota mendapati tiga kenderaan diletak di kawasan parkir Menara PJD, Jalan Tun Razak ditenggelami air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, banjir kilat yang berlaku berpunca daripada hujan lebat bermula 5 petang dan surut sekitar 7 malam.

Anggota bomba tetap ditempatkan di lokasi untuk memantau bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 9:49 PM