SAMSOR menunjukkan komputer riba yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG pengawal keselamatan yang baru bekerja 11 hari di sebuah sekolah di Rawang, ditahan selepas memecah masuk makmal sekolah dan mencuri 23 komputer riba berharga RM20,000.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada seorang guru sekolah berkenaan pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan pengawal keselamatan terbabit di sekolah berkenaan.

“Semakan mendapati, suspek berusia 31 tahun itu memiliki 16 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Hasil soal siasat terhadap suspek utama itu, seramai sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar berusia antara 25 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selayang,” katanya pada sidang media, di IPD Gombak, hari ini.

Samsor berkata, polis turut menemui semula 18 komputer riba yang dicuri lelaki berkenaan.

“Komputer riba itu dipercayai dijual dengan harga RM100 sehingga RM200 kepada kenalan suspek yang juga seorang warga Myanmar.

“Pengawal keselamatan berkenaan sudah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang semalam mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala sembilan suspek lain masih direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:25 PM