Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


DUA warga Indonesia yang terperangkap dalam runtuhan di tapak pembinaan parkir bertingkat Terminal Bas Bersepadu Gombak, awal pagi hari ini disahkan meninggal dunia.

Mangsa pertama dikeluarkan pada 2.07 petang, manakala yang kedua pada 2.10 petang.

Sebelum itu, dua lagi warganegara itu diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, manakala seorang lelaki Bangladesh yang terperangkap berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat pada 7.05 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, siasatan pihaknya mendapati tingkat bawah lokasi runtuhan itu dijadikan tempat tinggal pekerja kontrak.

“Jika mengikut kepada peraturan, binaan struktur untuk menempatkan ruang rehat pekerja di dalam tapak pembinaan adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, di tapak ini kami mendapati terdapat binaan seperti ruang rehat atau asrama pekerja di tingkat bawah tapak pembinaan parkir bertingkat berkenaan.

“Sepatutnya perkara sebegini tidak dibenarkan, atau memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja kontrak sepatutnya dilengkapi peralatan keselamatan ketika berada di tapak projek seperti topi keledar keselamatan.


STRUKTUR binaan yang runtuh menyebabkan dua warga Indonesia mati. FOTO Hafiz Sohaimi.

Namun hal itu di luar bidang kuasa pihaknya dan perlukan penguatkuasaan pihak berkaitan.

Insiden runtuhan itu berlaku kira-kira 1 pagi yang turut menyebabkan dua warga Indonesia cedera manakala, seorang lelaki Bangladesh terperangkap dan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat pada 7.05 pagi.

Berita berkaitan

Dua cedera, satu hilang [METROTV]

SSCC pantau runtuhan terminal bas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:59 PM