Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Cheras semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA individu termasuk lelaki warga Iran yang membawa beg mengandungi dadah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa 3.50 petang.

“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun selepas penemuan satu beg dipegang suspek mengandungi dua paket plastik berisi methamphetamin 2,074 gram dianggarkan RM111,100.

“Semakan mendapati suspek yang juga penganggur mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2008 selain didapati positif amphetamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, serbuan kedua dilakukan di perkarangan lobi sebuah pusat beli-belah di Jalan Peel pada 8 malam membawa kepada penahanan lelaki warga Iran berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg dipegang suspek menemui dua paket plastik lut sinar mengandungi ketamin 1,009.90 gram dianggarkan RM61,485.

“Dadah yang dirampas dalam dua serbuan ini mampu dibekalkan kepada 200 hingga 400 penagih di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Cheras dan direman enam hari bermula hari ini hingga Selasa ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kes membabitkan lelaki warga Iran terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 3:48 PM