Muhaamad Hafis Nawawi


PENIAGA pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohd AzimarAbd Razak, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar Honda Accord hitam milik kerajaan Perlis dengan maksud menyebabkan kerosakan kepada kenderaan itu bersama dengan individu lain yang masih bebas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Persiaran Wawasan, Kangar pada 5 pagi, 22 Mac lalu.

Bapa dua anak berusia sembilan dan 11 tahun itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama.


ANGGOTA polis mengiringi Mohd Azimar di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Amran Hamid

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan didenda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norsyuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman, Najdah Romli.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memberikan syarat kepada tertuduh supaya melapor diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta ahli keluarga dan kenalan rapatnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan seorang penganggur berusia 36 tahun dan memburu empat suspek terbabit dalam kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri di kediamannya 22 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, kereta rasmi kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet, selain cermin hadapan dipecahkan dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.

Berita berkaitan:

  • Suspek bakar kereta Dr Maza dikenal pasti
  • Mufti Perlis diminta diam
  • Individu bakar kereta mufti diberkas
  • Saya dan keluarga tidak trauma - Dr Maza
  • Polis nasihat Dr MAZA berjaga-jaga
  • Bukan kegiatan pengganas - Ketua Polis Perlis
  • 2 lelaki diburu
  • 'Bersangka baik sahaja'
  • Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:02 AM