Muhammad Ridwan menunjukkan tiga jari tangan kanannya yang kudung akibat bermain mercun tahun lalu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Muhammad Ridwan menunjukkan tiga jari tangan kanannya yang kudung akibat bermain mercun tahun lalu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


“ANDAI dapat diputarkan masa, saya tidak akan bermain mercun namun semuanya sudah terlambat.

“Saya ditakdirkan cacat tangan kerana mercun,” kata Muhammad Ridwan Abdul Rashid, mangsa pertama mercun di Terengganu tahun lalu.

Muhammad Ridwan, 17, berkata, walaupun genap setahun peristiwa hampir meragut nyawanya itu berlalu, dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Sekarang kalau dengar bunyi mercun pun saya trauma. “Saya sendiri tidak menyangka percubaan pertama bermain mercun ketika itu menyebabkan saya mengalami kecacatan kekal seumur hidup.

“Cukuplah sekali saya terkena mercun, rasa serik,” kata bekas pelajar kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut itu yang cacat tiga jari akibat kejadian itu.

Sebelum ini media melaporkan mengenai tragedi menimpa Muhammad Ridwan, pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah lembam itu, apabila menjadi mangsa pertama mercun di negeri itu pada 5 Mei 2018.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Muhammad Ridwan dikatakan bermain mercun bersama 10 rakan lain di kawasan rumahnya di Kampung Nail, Kuala Besut dan mangsa sedang memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol kaca sebelum ia meletup.

Kejadian itu menyebabkan empat jarinya parah dan dia dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kembali kejadian itu, Muhammad Ridwan berkata, dia menggunakan botol minyak wangi kosong untuk mengisi belerang mercun.

“Ketika saya cucuh api dan mahu melemparkan botol, terasa botol itu melekat di tangan sebelum ia meletup dan tangan terasa sangat sakit.

“Mercun buatan sendiri memang berisiko untuk meletup dan saya nasihatkan rakan lain jadikan pengalaman saya ini sebagai iktibar.

“Jika berlaku tragedi seperti menimpa saya, pasti menyesal seumur hidup. Dilahirkan sempurna tetapi cacat akibat kesilapan sendiri,” katanya ditemui hari ini.

Katanya, sejak empat bulan lalu dia bekerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besut, untuk menyara keluarga dan enggan menyusahkan adik beradiknya kerana dia juga sudah tidak minat bersekolah.

“Ibu bapa sudah meninggal dunia kerana kemalangan ketika saya berusia tujuh tahun dan saya kini tinggal bersama adik beradik,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 3:33 PM