PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan juragan bot bersama muatan ikan. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


TINDAKAN lelaki menangkap ikan tanpa permit atau lesen membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Labuan, semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, juragan bot berusia 31 tahun gagal menunjukkan sebarang permit menangkap ikan selain lesen bot didapati telah tamat tempoh.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya turut menemui satu tong ikan berisi pelbagai jenis ikan dipercayai hasil tangkapan juragan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat 30 kilogram di dalam bot berkenaan.

“Lelaki itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan menyalahi Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 kerana lesen bot tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di Labuan, semalam.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, bot bersama muatan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM9,535 itu dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes dirujuk kepada Jabatan Perikanan Labuan dan Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, beliau menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menjalankan operasi sepanjang masa dan menjalinkan kerjasama dengan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berhubung perlanggaran peraturan di perairan negara.

1. Bot bersama muatan ikan yang ditangkap dirampas PPM diperairan Pelabuhan Labuan.

Tamat

From: Norasikin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:58 AM