ERWAN (kanan) menyoal suspek yang ditahan ketika Ops Cegah. FOTO ihsan AADK
Junaidi Ladjana


DUA beradik ditahan ketika ‘bersahur’ dengan dadah dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Pintas, Beaufort, dalam Ops Cegah, semalam.

Dua beradik berusia 32 dan 34 tahun antara enam lelaki yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri dan AADK cawangan Beaufort diketuai Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Beaufort, Effanehwati Lakat berkata, hasil penahanan dua beradik itu, anggota AADK menemui beberapa peralatan menghisap dadah syabu di dalam bilik seorang daripada mereka.

“Kedua-dua beradik terbabit dipercayai baru lepas menghisap dadah syabu.

“Seterusnya ujian saringan awal mendapati dua beradik positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Effanehwati berkata, operasi itu turut dijalankan di dua lagi kampung di daerah ini dan menahan empat lelaki disyaki penagih berusia 26 hingga 51 tahun.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Operasi bermula 1.30 pagi dan berakhir kira-kira 2 jam kemudian membabitkan lapan anggota termasuk pegawai AADK Negeri dan Beaufort.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 12:35 PM