NUR Amirka bersama beberapa wakil Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir. FOTO Imran Makhzan
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


“SETIAP kali raya (Aidilfitri) pasti saya terkenang masakan istimewa arwah ibu, nasi hujan panas dan ayam masak pedas,” kata Nur Amirka Wahida Azhar, 13, dari Bukit Tok Beng, Kuala Nerus yang dilahirkan tanpa anggota badan sempurna.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri itu berkata, ibunya, Noor Zayani Mohd Said meninggal dunia akibat kencing manis pada 2012.

“Walaupun dah tujuh tahun, terasa macam semalam bersama dia. Setiap pagi satu Syawal, saya tak pernah lupa menziarahi pusaranya.

“Semua kenangan kami masih kuat dalam ingatan dan saya pasti teringat masakannya yang memang tak ada tolok banding. Ada orang cuba buat nasi hujan panas dan ayam masak pedas seperti arwah tapi rasanya tak sama,” katanya.

Nur Amirka Wahida ditemui pada program Infak Perdana Ramadan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara (PENGGERAK) Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam.

Program itu dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Pengerusi PENGGERAK Terengganu, Alfaizal Amjed.

Sungguhpun dilahirkan tanpa kaki, kekurangan fizikal itu tidak sesekali menghalang Nur Amirka untuk bergiat aktif dalam aktiviti lasak di sekolah.

Dia bukan saja menggemari sukan renang, malah sering menyertai acara merentas desa yang dianjurkan sekolahnya.

“Saya memang suka berenang sejak kecil dan tiap kali sertai rentas desa, saya sering dibantu rakan,” katanya bercita-cita menjadi doktor.

Nur Amirka yang tinggal di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus kini dijaga bapanya, Azhar Abu@ Abdullah, 56 yang bekerja sebagai penternak kambing dan ibu tirinya, Fatimah Noor Abdul Majid.

Menurutnya, dia menghabiskan sepenuhnya masa berada di kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

Sementara itu, wakil PIBG SMK Ibrahim Fikri, Aishah Naziah Mohd Nadzir berkata, Nur Amirka sering menyertai aktiviti sukan dianjurkan sekolah.

“Meskipun mempunyai batasan dari segi fizikal, dia aktif dan tidak menjadikan kekurangan sebagai halangan.

“Lebih-lebih lagi, bapanya memang memberi sokongan supaya dia aktif dalam kegiatan sukan malah dia juga menghantarnya ke kelas renang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 9:55 PM