RAKAMAN kejadian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki menimbulkan keraguan di Masjid Khairiah, Mukim Chabang Empat, Tumpat, apabila tidak selesai menunaikan solat Dhuha, meskipun sudah lebih 20 minit berada di dalam masjid berkenaan.

Ia terjawab apabila lelaki berusia 30-an itu dilihat leka ‘memancing’ tabung yang terletak di dalam masjid terbabit.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9 pagi Khamis lalu, selepas lelaki terbabit yang menunggang sebuah motosikal memasuki perkarangan masjid itu dan meminta kebenaran dari tukang sapu masjid, Rohani Jaafar, 45, untuk masuk bagi menunaikan solat Dhuha.

Rohani berkata, dia membenarkan dan lelaki terbabit masuk ke masjid dengan sebelum menutup pintu.

“Dari tindakannya menutup pintu itu, saya sudah berasa pelik kerana selalunya jika ingin bersolat, orang akan membiarkan pintu masjid terbuka.

“Saya kemudiannya ke bahagian belakang masjid untuk menyapu sampah dan cuba mengintai dalam masjid kerana lebih 20 minit lelaki itu berada di dalam sekali gus ragu-ragu.

“Saya ternampak lelaki itu sedang berdiri menghadap tabung masjid dan sebaik ternampak saya sedang mengintainya, dia segera membuang sesuatu di tangannya (dawai untuk mengambil wang dalam tabung) dan terus duduk,” katanya.

Rohani berkata, dia kemudiannya pergi ke bahagian tepi masjid untuk masuk melalui sebuah pintu dan ternampak lelaki itu kembali memancing wang dari tabung.

“Lelaki itu yang terkejut dengan kehadiran saya terus berjalan keluar dari masjid dan menunggang motosikal keluar dari kawasan masjid,” katanya.

Perbuatan suspek itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam masjid berkenaan.

Video berdurasi 42 saat itu menunjukkan individu berkenaan memancing dan memasukkan wang ke dalam poket seluarnya, tular di media sosial.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Khairiah Mukim Chabang Empat, Daud Ab Rahman berkata, kejadian kecurian wang tabung masjid kerap berlaku di masjid itu menyebabkan pihaknya memasang CCTV.

“Untuk tahun ini sahaja, sudah lebih tiga kali kejadian sama berlaku, mungkin kedudukan masjid yang berhampiran jalan utama dan ramai yang keluar masuk ke sini menyebabkan kecurian mudah berlaku.

“Selain memasang empat CCTV, kami juga terpaksa menggantikan mangga baharu setiap kali berlaku kejadian tabung dipecah,” katanya sambil memberitahu laporan sudah dibuat di Balai Polis Chabang Empat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:48 PM