ANGGOTA BBP Alor Setar melakukan pencarian lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memancing ikan di Sungai Kedah berhampiran Kampung Berjaya, Taman Mahawangsa, Jalan Putra, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah ketika memancing ikan berhampiran Kampung Berjaya, Taman Mahawangsa, Jalan Putra, Alor Setar, hari ini.

Lelaki yang belum diketahui identitinya itu dipercayai terjatuh sekitar 5.30 petang hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.43 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi kejadian pada 5.53 petang.

Beliau berkata, mangsa dipercayai jatuh di kawasan itu ketika sedang memancing berdasarkan maklumat awam diterima.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Abdul Hamid bersama dua jentera dan sepasukan anggota.

“Operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:54 PM