AZMAN (tengah) dan Tuan Asri Tuan Hussein (dua, kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima di Kampung Ulu Tawar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZMAN (tengah) dan Tuan Asri Tuan Hussein (dua, kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima di Kampung Ulu Tawar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Safuri Kamarudin


BAGI golongan ibu tunggal dan miskin di Kampung Ulu Tawar Tengah, di Baling yang tidak dapat hadir pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS), mereka tetap gembira apabila dikunjungi dari rumah ke rumah untuk menerima sumbangan barangan makanan dan wang tunai.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Tuan Asri Tuan Hussein.

Penerima, Siti Ramlah Che Din, 69, berkata, dia tidak dapat hadir program itu kerana sudah uzur malah tidak mampu berjalan walaupun ada keinginan untuk meraikan program bersama penduduk kampung yang lain dengan berbuka puasa beramai-ramai.

“Rasa seronok apabila penduduk kampung dijemput berbuka puasa beramai-ramai di perkarangan Masjid Al-Hidayah.

“Bukan setakat sumbangan barangan dapur dan wang, malah pihak berkenaan bermurah hati untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama 1000 penduduk, ” katanya.

Beliau berkata, kunjungan HM dan PLUS dengan membawa barangan makanan ke rumahnya membuktikan pihak yang berkenaan ikhlas membantu orang susah.

“Saya bersyukur ada juga pihak datang menjenguk dan menghulurkan bantuan.

“Banyak barang dapur yang di berikan sekali gus dapat mengurangkan beban hidup,” katanya.

Siti Ramlah yang juga ibu tunggal tinggal bersendirian dan mengharap jiran menjenguk untuk membantu.

Beliau berkata, sumbangan wang tunai yang diterima akan digunakan dengan cermat selain untuk membeli ubatan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Komuniti Pengurusan Kampung (MPKK), Ismail Awang berkata, program yang dianjurkan itu mencapai sasaran.

Beliau berkata, sumbangan kepada 250 penerima adalah mereka yang layak dan tergolong dalam golongan asnaf.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan PLUS kerana memilih kampung kami untuk program tahun ini.

“Semua penerima bersyukur malah sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dan meriah bagi kanak-kanak dengan berwajah baru apabila memilih memakai pakaian pilihan mereka sendiri di Pasar Raya Jakel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:48 AM