GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta kerajaan mengkaji semula dan memperketatkan undang-undang sedia ada berkaitan bunga api dan mercun.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyiasat sehingga ke peringkat akar umbi bagaimana bahan terlarang itu masih dibawa masuk dan dijual berleluasa di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) perlu meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menyekat penyeludupan mercun dan bunga api.

Menurutnya, insiden kecederaan atau kematian akibat mercun atau bunga api sepatutnya tidak berlaku kerana bahan itu sudah diharamkan kecuali ‘pop-pop’ dan ‘Happy Boom/Magic Pop’.

“Letupan mercun yang mengakibatkan ramai mangsa cedera menunjukkan bahan terlarang itu masih boleh didapati dengan mudah di negara kita.

“Antara kes terbaru di Kelantan, remaja berusia 13 tahun kehilangan empat jari akibat bermain mercun bola bersama rakan di Kampung Sokor, Kok Lanas pada 18 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lee berkata, hakikatnya, larangan bermain semua jenis mercun dan bunga api dikuatkuasakan sejak 1995 masih kekal.

Menurutnya, mereka yang terbabit boleh dihukum mengikut pelbagai akta termasuk Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

Beliau berkata, mereka yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api, selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihak yang mengilang, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api tanpa permit, boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

“Perlu diingat dan ditegaskan, mereka yang bermain dan membakar mercun serta bunga api boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Walaupun pengimport yang ingin membawa masuk bunga api perlu mendapatkan permit khas daripada pihak polis, saya difahamkan ada di antara mereka turut membawa masuk bunga api dan mercun yang diharamkan.

“Lebih membimbangkan, peniaga tidak berlesen juga turut membawa masuk barang terlarang ini.

“Siasatan wajar dilakukan hingga akar umbi sebab penjualan bunga api dan mercun diharamkan masih berleluasa di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang membawa masuk dan menjual mercun termasuk secara dalam talian serta media sosial.

Beliau berkata, orang ramai terutama ibu bapa pula perlu memastikan ahli keluarga tidak terbabit dalam aktiviti jual beli mercun atau bermain dengan barangan terlarang itu.

“Pengawasan ibu bapa juga amat penting bagi mengelakkan anak-anak membuat mercun sendiri menggunakan bunga api yang dibenarkan atau bahan mudah terbakar lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 12:35 PM