FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara kerana penyalahgunaan dadah dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini selepas ditahan berkhalwat bersama kakak angkatnya yang berstatus isteri orang.

Selain itu, tertuduh berusia 30 tahun itu turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi, sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak bekerja itu terpaksa meringkuk di penjara selama satu tahun selepas gagal membayar denda itu.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu berkhalwat.

Sebelum ini, pasangannya berusia 32 tahun yang mendakwa ‘digantung tidak bertali’ dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 atau enam bulan penjara, di mahkamah sama pada 14 April lalu.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya dengan alasan masih mempunyai ibu, bapa dan adik-beradik yang lain.

Malah, tertuduh turut mendakwa ke motel berkenaan hanya menjaga tertuduh (kakak angkatnya) yang sedang berpantang, sedangkan tertuduh wanita sedang hamil ketika mereka ditangkap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang ditahan bersama pasangannya di dalam sebuah motel di Marang, jam 3.25 pagi pada 6 Julai 2018.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa daerah melakukan serbuan berwaran di sebuah motel di Marang, 3.25 pagi, 6 Julai 2018.

Sebaik tiba di hadapan bilik berkenaan, pintu utama tertutup rapat sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam.

Pintu dibuka dari dalam oleh seorang lelaki dan anggota kemudian memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan mendapati ada seorang wanita memakai baju-T dan bertuala di dalam motel berkenaan sebelum soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:58 PM