NOOR Azizi (empat kanan) bersama Azran Fitri (tiga kanan) beramah mesra bersama pengamal media. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) akan melantik dua penuntutnya sebagai pemerhati terlebih dahulu sebelum membuka ruang menjadi Ahli Senat universiti itu selepas Aidilfitri.

Naib Canselornya Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, pendekatan itu diambil berikutan pelantikan secara langsung penuntut sebagai Ahli Senat memerlukan semakan perlembagaan sedia ada.

“UMK pada dasarnya tidak ada masalah untuk melantik penuntutnya sebagai Ahli Senat, namun setiap universiti mempunyai perlembagaan masing-masing.

“Pegawai undang-undang kita sedang meneliti perlembagaan universiti untuk dilihat dari sudut perundangan,” katanya ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Bersama UMK di Rumah Wartawan, Taman Sari, di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli dan Presiden KEMUDI, Azran Fitri Abdul Rahim.

Noor Azizi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melantik dua pemimpin penuntutnya sebagai Ahli Senat manakala dua lagi sebagai pemerhati sekali gus melakar sejarah menjadi universiti awam pertama berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Noor Azizi berkata, pihaknya sudah berbincang dan memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini, kita mencadangkan dua pemerhati dalam kalangan MPP iaitu Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua dilantik,” katanya.

Beliau berkata, keberadaan penuntut dalam Senat akan memberi peluang kepada mereka memahami perkara yang dibincangkan selain dapat menyuarakan pandangan sendiri.

“Di dalam Senat perkara yang dibincangkan adalah berkaitan soal akademik dan ia akan memberi kebaikan kepada penuntut kerana tidak ada apa yang boleh disembunyikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 10:27 AM