LEMBU yang cuba dicuri dari kandang di Sungai Lokan, Butterworth. FOTO Ihsan Polis
Shamsul Munir Safini


TIGA lelaki diberkas polis bersama lembu yang dicuri dari kandang di Sungai Lokan, Butterworth, 4 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, pemilik kandang menyedari lembunya cuba dicuri selepas terdengar salakan anjing di kawasan kandang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebaik melihat kamera litar tertutup (CCTV) lelaki berusia 52 tahun berkenaan melihat empat suspek dengan dua kereta cuba melarikan seekor daripada lembu miliknya.

“Suspek sudah berjaya menaikkan lembu ke dalam sebuah kereta Honda Civic dinaiki mereka sebelum melarikan diri

“Pemilik kandang kemudian bertindak mengejar kereta dinaiki suspek sebelum salah sebuah daripadanya yang membawa muatan lembu jenis ‘Brahman’ itu terbabas,” katanya.


KERETA dinaiki suspek terbabas ketika melarikan lembu jenis ‘Brahman’. FOTO Ihsan Polis

Menurutnya, tiga suspek lelaki yang menaiki kereta itu cedera sebelum ditahan dan diserahkan kepada polis.

“Ketiga-tiga suspek dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan rawatan dan direman polis,” katanya.

Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan kini sedang dikesan polis.

Noorzainy berkata, suspek dipercayai menyumpit lembu dengan ubat pelali sebelum memuatkannya ke dalam kereta.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:28 PM