LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Rabiul Zulkifli


NASIB tujuh beradik yatim piatu di Kampung Bukit Cempaka, Tepoh, Kuala Nerus terus mendapat perhatian dan pembelaan apabila Kelab Kayuh Bike Club (KBC) membawa mereka membeli baju raya semalam.

Syahwanie Azwin Sahidi,16, berkata, dia bersama enam adik beradiknya teruja apabila diberi peluang memilih sendiri baju raya masing-masing tahun ini.

“Sedikit sebanyak kerinduan kami kepada arwah ibu dan bapa terubat apabila ada pihak datang membantu serta membawa kami membeli baju raya.

“Sebagai kakak, saya gembira apabila melihat adik gembira memilih baju raya masing-masing, terasa seperti arwah ibu dan bapa masih ada apabila dilayan sebaik itu.

“Kami ingatkan Aidilfitri tahun ini suram selepas pemergian ibu tetapi sebaliknya berlaku apabila ramai pihak tampil memberi bantuan selepas kisah kami dilaporkan di akhbar ini,” katanya.

Syahil Azer, 14, berkata, mereka turut dibawa berbuka puasa di restoran dengan menjamu pelbagai juadah istimewa.

“Seronok menyambut Aidilfitri tahun ini kerana ramai yang cakna dengan keperluan kami. Sejak kisah kami dilaporkan di akhbar ini, sumbangan yang diterima tidak putus-putus dalam pelbagai bentuk.

“Kami ingatkan pengalaman membeli baju raya beramai-ramai seperti itu tidak akan berlaku lagi selepas ketiadaan ibu dan ternyata jangkaan itu meleset.

“Semua orang memberi layanan yang baik kepada kami dan kami terharu dengan keikhlasan mereka,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah tujuh beradik yatim piatu mengikat janji untuk sentiasa menjaga satu sama lain serta tidak akan berpisah.

Syahwanie Azwin dan kembarnya, Syawani Azwa, 16; abang, Syahil Azem, 19; dan adik-adik, Syahwanie Azliya, 15; Syahil Azer, 14; Syahwanie Azrine, 10, serta Syah Amsyar Mohamad, 11 bulan, kehilangan ibu, Norhayati Alias pada 31 Ogos tahun lalu akibat serangan jantung manakala bapa, Saidi Abdullah pada 2010 kerana angin ahmar.

Ketika ini, tujuh beradik itu menetap di rumah yang disewa bapa tiri yang hanya mahu dikenali Mohamad di Kampung Bukit Cempaka, Tepoh, Kuala Nerus.

Berita berkaitan

Rindu membara tujuh beradik [METROTV]

Janji tujuh beradik piatu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:49 AM