TIN susu yang jarang ditemui disimpan Muhammad Balshe Fauzan di Taman Seri Rembau. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEGELINTIR individu menganggap barang lama atau antik tiada guna dan tidak sesuai disimpan di rumah kerana dilihat ‘semak’ menyebabkan ramai yang membuangnya.

Sebaliknya bagi pemburu barangan antik, Muhammad Balshe Fauzan Abu Samah, 35, barangan berkenaan mempunyai nilai tersendiri, malah amat berharga.

Lebih-lebih lagi jika ia barangan sukar ditemui yang dikeluarkan sekitar 1960-an. Dengan keunikan tersendiri, harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

Menurut Muhammad Balshe Fauzan yang mengumpul barangan antik sejak sembilan tahun lalu, dia kini memiliki lebih 100 koleksi barangan antik yang diperoleh di kedai lama sekitar Negeri Sembilan dianggarkan bernilai lebih RM20,000.


PRODUK kebersihan diri sejak 1960-an. FOTO Hasriyasyah Sabudin

“Antaranya papan tanda kedai, papan iklan selain tin susu lama. Semua masih elok selain tidak berkarat walaupun berusia puluhan tahun,” katanya yang menetap di Rembau, Negeri Sembilan.

Menurut Muhammad Balshe Fauzan, antara koleksi paling mahal dijualnya ialah tin susu jenama terkenal bersaiz kecil keluaran 1970-an berharga RM600.

“Kebanyakan barangan ini saya jual secara atas talian. Saya juga menyertai pameran barangan antik di Kuala Lumpur empat kali setahun.

“Setiap bulan, saya boleh jual sehingga 30 koleksi barangan antik,” katanya.

Menurut Muhammad Balshe Fauzan, sebahagian hasil jualan digunakan sebagai modal membeli koleksi lain.

“Saya mencari beberapa jenama tin susu lama sekitar negeri ini bagi menambah jumlah koleksi sedia ada iaitu 20 tin.

“Buat masa ini, saya memiliki tin susu jenama F&N, Blue Cross, Milkmaid, Bendera dan Pokok yang juga keluaran 1960-an,” katanya.


ANTARA koleksi lain Muhammad Balshe Fauzan. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 4:30 AM