KEADAAN kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan pemandu kereta di Jalan Bercham - Tanjung Rambutan, di Ipoh, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman


LELAKI maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Bercham - Tanjung Rambutan berhampiran Bandar Baru Putra, di Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, mangsa Amzan Zaini Zul Kapli, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berkenaan cedera.

Difahamkan, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Bercham menghala ke Tanjung Rambutan, manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta jenis Nissan Sunny dipandu lelaki memasuki laluan mangsa sebelum merempuh motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta cedera,” katanya.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati motosikal dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk di beberapa bahagian termasuk pemegang manakala rim motosikal patah.

“Kereta berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk cermin hadapan pecah dan bumper hadapan kemek.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 8:34 AM