AZMI turut serta dalam Op Noda di pusat hiburan di USJ 25, Subang Jaya. FOTO Aziah Azmee
Nurul Hidayah Bahaudin


GODA pelanggan untuk dapat lebih banyak tips. Itu taktik digunakan sekumpulan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di USJ25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Operasi Noda (Op Noda) jam 1.30 pagi, hari ini.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, seramai 37 GRO warga Thailand termasuk seorang wanita warga Kemboja berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan.

Katanya, tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an bekerja sebagai pembantu turut ditahan bersama pengurus premis terbabit yang juga warga tempatan berusia 50-an dalam serbuan itu.

“Pemeriksaan mendapati premis terbabit mempunyai lesen, namun menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat GRO untuk melariskan perniagaan.

“Malah, GRO juga ditawarkan dengan ganjaran sebanyak 70 peratus daripada jumlah tips diterima melalui pelanggan, manakala 30 peratus lagi diberikan kepada majikan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Aziah Azmee

Azmi berkata, pelanggan boleh mendapatkan khidmat GRO dengan bayaran serendah RM150 hingga RM300 bagi setiap layanan.

“Selain itu, pelanggan yang mahu layanan istimewa boleh memberikan mahkota kepada GRO pilihan dengan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap layanan.

“GRO akan melakukan pertunjukan ‘catwalk’ di atas pentas khas untuk menarik minat pelanggan mendapatkan layanan mereka. “Mereka (pelanggan) yang berminat perlu memaklumkan kepada pengurus pusat hiburan atau penjaga dikenali sebagai ‘Mami’ untuk proses menempah GRO pilihan,” katanya.

Beliau berkata, premis itu pernah diserbu sebanyak tiga kali tahun ini oleh pihak berkuasa kerana menjalankan kegiatan tidak bermoral.

“Kali terakhir pusat hiburan ini diserbu adalah April lalu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), namun mereka tidak serik apabila didapati masih menjalankan kegiatan itu.

“Malah, premis terbabit turut diubah suai di bahagian belakang pentas bagi membolehkan GRO melarikan diri ketika serbuan,” katanya.

Katanya, pihaknya merampas 12 mahkota yang digunakan sebagai ‘tanda’ kadar pembayaran bagi layanan GRO di pusat hiburan terbabit.

“Semua individu yang ditahan dalam operasi itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(3) akta yang sama, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:15 AM