DUA lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


HAJAT dua sahabat ingin bergaya menyambut Aidilfitri hasil barangan curi tidak kesampaian apabila mereka dicekup polis kurang 12 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu.

Suspek berusia 20 dan 27 tahun ditahan di Kampung Desa Bajau oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30 tahun selepas rumahnya di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, dipecah masuk dan telefon bimbit serta dompetnya hilang dipercayai dicuri, jam 12.10 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan mendapati tingkap dapur dan gril dirosakkan, manakala rumah dalam keadaan berselerak dipercayai dipecah masuk.

“Selain itu, telefon bimbit jenama I-phone 7 dan wang tunai serta dokumen penting dilarikan.

“Bertindak atas maklumat dan risikan polis, dua lelaki termasuk seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan jam 11.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan polis berjaya menemui semula barangan curi milik pengadu.

“Siasatan diteruskan untuk mengetahui pembabitan kedua-dua suspek dalam kejadian jenayah pecah rumah yang lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 12:10 PM