SURHAYA bersama anaknya di hadapan pondok didiami mereka. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BIARPUN jiran sekampung sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, lima beranak di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, pilu mengenang nasib mereka yang masih tinggal di pondok usang.

Lebih menyedihkan lagi, sebahagian dapur pondok usang mereka sudah runtuh pagi semalam kerana lantai dan dinding reput hingga tidak mampu dibaiki semula.

Surhaya Musa, 31, berkata walaupun Aidilfitri semakin hampir, dia lima beranak terpaksa melupakan persiapan itu dan hanya menyambut hari lebaran sekadar yang termampu.

Katanya, sudah 12 tahun keluarganya menyambut Aidilfitri di pondok usang yang menunggu masa untuk runtuh kerana tinggal dalam serba kekurangan.

“Sejak kisah kemiskinan kami sekeluarga tular, ramai juga yang tampil menyalurkan sumbangan.

“Tetapi, kami belum dijanjikan bantuan rumah bagi mengatasi masalah kehidupan kami yang terus berdepan risiko pondok runtuh,” katanya ketika ditemui dalam keadaan sebak, hari ini.


SURHAYA menunjukkan bahagian dapur pondoknya yang dalam keadaan serba kekurangan. FOTO Ramli Ibrahim

Surhaya mempunyai tiga anak masih bersekolah, iaitu Muhammad Ammar Hakim Amran, 12, Muhammad Faris Hakim, 7 dan Nur Alisha Qaisara, 5.

Menurut Surhaya, suaminya, Amran Roseh,37, bekerja kampung memperoleh pendapatan RM300 sebulan tidak mampu membina rumah yang selesa.

“Sudah beberapa kali saya mohon bantuan rumah daripada agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) tetapi belum mendapat sebarang keputusan.

“Kami harap Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dapat pertimbangkan untuk mendapat bantuan rumah supaya keluarga kami dapat tinggal dalam keadaan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 11:45 AM