Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan tiga pemandu bas positif dadah ketika pemeriksaan di terminal bas dalam Ops Hari Raya Aidilfitri 2019 yang dilancarkan 29 Mei lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pemandu bas dari Perak, Pulau Pinang dan Selangor itu dikesan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

“Susulan itu, syarikat pengendali bas berkenaan perlu mencari pemandu pengganti bagi meneruskan perjalanan.

“Operasi terhadap pemandu bas ini akan diteruskan sehingga 13 Jun ini bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan “katanya pada sidang media di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, hari ini.

Shaharuddin berkata, sebanyak 36 saman turut dikeluarkan JPJ kepada pemandu bas yang melakukan kesalahan sepanjang operasi dijalankan.

“Kesalahan itu dikesan hasil penyamaran oleh pegawai JPJ terhadap 83 bas yang beroperasi.

“Antara kesalahan yang dikesan kerap dilakukan adalah memandu di lorong paling kanan tanpa henti, menggunakan telefon pintar dan merokok ketika memandu,” katanya.

Menurutnya, walaupun kaedah penyamaran oleh pegawai JPJ diuar-uarkan, namun masih ada pemandu bas yang melakukan kesalahan utama.

“Kesedaran mereka rendah kerana masih berlaku kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku kerana ada pegawai yang menyamar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:38 PM
SHAHARUDDIN membuat lawatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Rosela Ismail
SHAHARUDDIN membuat lawatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Rosela Ismail