BAZAR Melayu Masjid India yang terbakar 21 Mei lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


“SAYA sudah jelaskan kepada anak-anak sambutan Aidilfitri tahun ini kena lebih berjimat cermat kerana kami ditimpa musibah kebakaran.

“Alhamdulillah, dua cahaya mata amat memahami dan tidak pun mengeluh,” kata peniaga kerongsang, Fadzil Zulkifley, 32.

Dia antara puluhan peniaga yang menjadi mangsa kebakaran Bazar Melayu Masjid India, Kuala Lumpur 21 Mei lalu menyebabkannya kerugian RM40,000 apabila semua barang di gerai jualannya hangus.

Beliau berkata, anaknya, Danny Irfan, 12, dan Sofea, 11, turut berkongsi kesedihan berhubung kejadian itu kerana mereka berdua turut membantu berniaga ketika cuti sekolah.

“Selama 12 tahun berniaga di Bazar Melayu Masjid India, saya kerap juga membawa anak membantu saya dan isteri berniaga di sini.

“Perniagaan ini punca utama rezeki kami sekeluarga. Mungkin sebab itu juga mereka sangat bersedih dan faham situasi sukar saya dan isteri ketika ini,” katanya.

Dia ditemui di tapak sementara peniaga mangsa kebakaran itu yang ditempatkan di lorong berhampiran Balai Polis Masjid India.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati tapak perniagaan sementara itu kurang mendapat sambutan berikutan bukan laluan utama pejalan kaki berbanding tapak asal berhadapan bangunan Wisma Yakin dan Masjid India.


KAWASAN terjejas kebakaran belum dibersihkan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Peniaga beg, Mok Min Cheang, 70, dan isterinya Ong Nee Heng, 64, berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meletakkan papan tanda pemberitahuan di tapak asal mengenai perpindahan gerai bagi memudahkan pelanggan.

“Ada pelanggan tetap hubungi saya bertanyakan sama ada masih berniaga atau sebaliknya selepas kebakaran.

“Saya terpaksa jelaskan sudah berpindah ke lokasi lain.

“Jika ada papan tanda jelas dan besar, pelanggan boleh pergi ke tempat baru ini,” katanya kerugian hampir RM50,000 dalam kebakaran itu.

Harian Metro difahamkan semua 143 peniaga akan dipindahkan 10 Jun ini supaya kerja pembersihan dan baik pulih struktur dapat dilaksanakan.

Sehingga hari ini selepas 15 hari kejadian, kawasan terjejas kebakaran berkenaan belum lagi dibersihkan dan hanya dililit pita tertera larangan masuk berlogo DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 4:30 PM