Tun bersama isteri serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Siti A’isyah Sukaimi


“TERIMA kasih kerana kesudian tuan puan datang ke rumah saya untuk bersama-sama merayakan Aidilfitri.

“Negara kita terdapat penduduk pelbagai kaum dan agama tetapi kita boleh berkumpul bersama dalam keadaan aman dan tenteram... alhamdulillah,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian mengalu-alukan kehadiran pengunjung pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara ketika bertemu mereka yang sedang menjamu selera di Laman Sari Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

Kesudian Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bertemu mereka turut mendapat tepukan daripada pengunjung.

Menerusi ucapan ringkas beliau, Dr Mahathir mengingatkan, kehidupan aman yang dikecapi rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama, membolehkan perayaan ini diraikan dengan bersama.

“Inilah negara kita bersama, dalam negara kita hidup rukun damai dan merayakan hari kebesaran, semua kaum bersama-sama tanpa mengira kaum atau agama.

“Dengan itu negara kita ini menjadi aman dan kita dapat hidup senang lenang dan hidup sejahtera,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya kepada pengunjung.

“Saya dan isteri mengucapkan selamat hari raya kepada muslimin dan muslimat.

“Maaf zahir dan batin kepada rakyat Malaysia jika ada apa-apa yang kami lakukan sepanjang tahun membawa tidak kesenangan kepada tuan puan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana kita dapat rayakan bersama pada tahun ini dan saya berdoa pada tahun akan datang juga.

“Inilah negara kita Malaysia, negara kita yang memberi banyak nikmat kepada semua.

“Tuan puan, saya tak dapat bercakap panjang hari ini. Saya bersama isteri dan keluarga mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Malaysia pelbagai kaum dan pelbagai agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 2:53 PM