KEMALANGAN membabitkan Perodua Alza dan Ford Everest di Jalan Tatau-Bintulu, petang semalam. FOTO Erika George
Norizuan Shamsuddin


SEBANYAK 176 kematian membabitkan 164 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh 10 hari Op Selamat ke-15 yang dilancarkan sempena Aidilfitri bermula 29 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata, sebanyak 16,470 kes kemalangan membabitkan 23,2633 kenderaan dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 145 kemalangan adalah membabitkan cedera ringan dan dan 58 cedera parah.

“Selangor merekodkan jumlah kes kemalangan maut tertinggi dengan 28 kes, diikuti Johor (22), Perak (18), Kedah (16), Sabah (14), Pahang (12), Sarawak (11), Kelantan (10), Terengganu (lapan), Negeri Sembilan (lapan), Pulau Pinang (enam), Kuala Lumpur (empat), Melaka (empat), Perlis (tiga),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, sepanjang tempoh itu, polis sudah menjalankan sebanyak 2,902 operasi di seluruh negara.

Katanya, hasil operasi dilaksanakan, sebanyak 217,683 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit.

“Bagi kes pecah rumah dan premis pula sebanyak 441 kes direkodkan dalam tempoh sama dan daripada jumlah itu 283 kes adalah membabitkan pecah kediaman, kedai (82 kes), Pejabat (37 kes), stor (11 kes), kilang (11 kes), sekolah (lima kes), tempat ibadat (tiga kes) dan premis kerajaan (satu kes),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 11:18 AM