FOTO hiasan
FOTO hiasan
Farah Suhaidah Othman


SEORANG lelaki warga India maut selepas dipercayai dipukul di sebuah kedai gunting rambut di Pekan Razaki, Ipoh, semalam.

Mangsa yang berusia 56 tahun dan bekerja di premis berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 2.15 pagi akibat parah di beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital jam 2.35 pagi memaklumkan mengenai kematian mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang parah dibawa ke hospital berkenaan oleh rakannya sebelum disahkan meninggal dunia dan laporan awal perubatan menunjukkan kematian mangsa dipercayai akibat dipukul.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian oleh Unit Forensik kemudian menemui 15 tompokan darah dan kesan darah yang dilap di atas dinding, sofa serta kawasan tempat tidur pekerja di belakang kedai.

“Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazuki berkata, kedai gunting berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun alat berkenaan tidak dapat digunakan berikutan suis utamanya rosak dan polis merampas sehelai baju dan sepasang kasut milik seorang daripada suspek.

“Bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan di Jabatan Forensik HRPB esok jam 8.30 pagi bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 12:40 PM