FOTO hiasan
Fairuz Zaidan


MELAKA merekodkan sebanyak 268 kes penyakit tuberkulosis atau tibi yang dilaporkan di semua tiga daerah di negeri ini mulai 1 Januari hingga 1 Jun lalu.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong, bagaimanapun berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 10 kes berbanding 278 kes yang direkodkan sepanjang tempoh sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi penularan penyakit tibi iaitu sebanyak 180 kes; Alor Gajah (62) dan Jasin (26).

“Penularan penyakit tibi di Melaka bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus berdasarkan unjuran statistik dari 1 Januari hingga 1 Jun lalu.

“Kes penyakit tibi dalam kalangan warga asing pula sebanyak 13 kes pada 2019 berbanding 20 kes yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengenai kemungkinan jangkitan penyakit tibi turut membabitkan Orang Asli, Low berkata, sehingga kini tiada rekod menunjukkan penularan penyakit itu dalam kalangan masyarakat berkenaan di Melaka.

Beliau berkata, terdapat empat kumpulan berisiko tinggi dijangkiti tibi iaitu individu mempunyai hubungan rapat dengan penghidap penyakit itu, mempunyai daya tahan imuniti rendah, persekitaran penuh sesak serta penyalahgunaan dadah.

NSTP semalam melaporkan penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘pneumonia’ dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dalam tempoh Mei hingga Khamis lalu.

Malah, siasatan lanjut mendapati ramai lagi penduduk yang menghidap pneumonia dan tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 12:58 PM